Analisis Komponen Standard Guru Malaysia ke Arah Melahirkan Guru Malaysia yang Bertaraf Dunia.
Disediakan Oleh:
Anis Syamimi Binti Azman
(D20202097082)
Standard Guru Malaysia merupakan pernyataan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru (Standard) dan pernyatan aspek yang patut disediakan serta dilaksanakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan (Keperluan). Standard Guru Malaysia digubal berdasarkan rujukan dan penandaarasan standard pendidikan di Malaysia dan standard pendidikan di beberapa negara maju. Terdapat dua komponen utama yang saling berkait rapat dalam Standard Guru Malaysia iaitu Standard (S) dan Keperluan (K)
Asas penentuan Standard Dan Keperluan adalah berdasarkan aspek misi nasional iaitu dengan menggariskan lima teras utama. Pertama, meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi. Kedua, meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama. Ketiga, menangani masalah ketidakseimbangan sosio- ekonomi yang berterusan secara membina dan produktif. Keempat ialah meningkatkan tahap dan kemampuan kualiti hidup. Kelima, mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.
Selain itu, asas penentuan Standard Dan Keperluan adalah Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kearah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
Di samping itu, Falsafah Pendidikan Guru (FPG). “Guru yang berpekerti mulia,berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.
Seterusnya, semua guru di Malaysia berikrar akan Tatasusila Profesion Keguruan demi menjaga nama baik profesion keguruan serta meningkatkan lagi mutu profesion.
Asas penentuan Standard Dan Keperluan yang terakhir adalah Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia yang melaksanakan serta menghayati enam prinsip iaitu niat yang betul, perlakuan yang baik, penggerak ke arah kebaikan, memperkotakan apa yang dikatakan, berdisiplin dan beradab serta menghargai dan bertanggungjawab terhadap hasil usaha organisasi.
Tujuan kewujudan Standard Guru Malaysia dilaksanakan adalah bagi meningkatkan kompetensi guru iaitu mengenal pasti tahap kompetensi professional guru dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, kesediaan institusi latihan perguruan iaitu dengan mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan latihan oleh institusi latihan perguruan bagi menjamin tahap kompetensi guru yang ditetapkan tercapai. Seterusnya, cabaran dunia pendidikan iaitu mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang patut ditambah baik sejajar dengan perkembangan dan cabaran semasa dunia pendidikan.
Komponen Standard Guru Malaysia
Standard Guru Malaysia mempunyai dua komponen utama yang saling berkait iaitu Standard (S) dan Keperluan (K).
Model Standard Guru Malaysia
Standard
Standard terbahagi kepada tiga aspek iaitu Standard 1: Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan, Standard 2: Pengetahuan dan Kefahaman dan Standard 3: Kemahiran Pengajaran dan Pembelajaran.
Standard 1 Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan digubal berlandaskan budaya Institut Pendidikan Guru (IPG), Tatasusila Profesion Keguruan, nilai murni dalam kurikulum sekolah, nilai utama dalam Perkhidmatan Awam, prinsip utama etika Kerja KPM dan tonggak Dua Belas. Standard ini mempunyai tiga domain utama iaitu Domain Diri, Domain Profesion dan Domain Sosial. Domain Diri merujuk kepada pegangan nilai diri guru yang sedia ada dan patut dikembangkan supaya guru boleh memberi sumbangan yang lebih berkesan kepada profesion keguruan bagi mencapai matlamat sistem pendidikan Negara. Domain ini memfokuskan nilai kepercayaan kepada Tuhan, amanah, ikhlas, berilmu, kasih sayang, sabar, budi bahasa, adil, bertimbang rasa, daya tahan, daya saing, tahan lasak, cergas, aktif dan sihat, kemahiran interpersonal dan intrapersonal, semangat sukarela dan efisien.
Domain yang kedua dalam Standard 1 ialah Domain Profesion. Domain ini adalah pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus oleh setiap guru dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru yang professional. Dalam domain ini menekankan nilai kecintaan terhadap profesion, berketerampilan, integriti, teladan, mengamalkan kerja sepasukan, proaktif, kreatif dan inovatif.
Domain yang ketiga dalam Standard 1 ialah Domain sosial. Domain ini guru berperanan sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat. Nilai- nilai yang patut diamalkan oleh guru adalah keharmonian, kemahiran sosial, semangat bermasyarakat, patriotisma dan kecintaan terhadap alam sekitar.
Seterusnya, Standard 2 iaitu Pengetahuan dan Kefahaman. Guru yang memiliki dan menguasai ilmu yang mantap dapat meningkatkan profesionalisme keguruan, melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta menjadi lebih kreatif dan inovatif. Guru harus menguasai bidang pengetahuan seperti mengetahui falsafah, matlamat dan objektif pendidikan yang menjadi teras dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, kurikulum dan kokurikulum, hasil pembelajaran, keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran yang diajarkan, kandungan mata pelajaran, kandungan ilmu pendidikan, menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), media dan sumber pendidikan, strategi dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, kaedah penilaian dan pentaksiran dalam menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran serta mengembangkan potensi murid secara menyeluruh.
Standard yang ketiga adalah Kemahiran Pengajaran dan Pembelajaran. Kemahiran ini memfokuskan kepada potensi guru dalam membuat perancangan, pelaksanaan penilaian pengajaran, pembelajaran akademik dan kokurikulum. Kemahiran yang perlu ada pada diri seorang guru adalah mahir dalam menyediakan perancangan pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada Sukatan Pelajaran dan takwim dengan mengambil kira perbezaan kebolehan, pengetahuan sedia ada, serta jangkaan pencapain murid. Guru juga harus mahir melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik serta mengintegrasikan kemahiran berfikir, belajar, teknologi maklumat komunikasi, pemudah cara, mentaksir dan menilai. Perkara ini bertujuan bagi memperbaik pengajaran guru serta meningkatkan pencapaian murid. Guru juga harus mempunyai kemahiran mengurus bilik darjah yang melibatkan pengurusan hubungan kemanusiaan, masa, ruang dan sumber untuk mencapai pembelajaran yang bermakna dan berkesan.
Keperluan
Komponen yang seterusnya adalah Keperluan (K). Dalam komponen ini, agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan latihan dengan mengambil kira dasar kerajaan, peruntukan kewangan, pekeliling am dan arahan pentadbiran, tuntutan serta perkembangan semasa. Terdapat lima keperluan penting latihan perguruan yang dikenalpasti bagi memastikan guru mencapai tahap kompetensi iaitu Keperluan 1: Kelayakan Masuk dan Prosedur Kemasukan Program Latihan Perguruan. Keperluan 2: Latihan, Pentaksiran dan Penilaian. Keperluan 3: Kolaborasi. Keperluan 4: Infrastruktur dan Infostruktur dan Keperluan 5: Jaminan Kualiti.
Keperluan pertama adalah Kelayakan Masuk dan Prosedur Kemasukan Program Latihan Perguruan. Untuk memastikan permohonan yang layak sahaja ditawarkan mengikut program latihan perguruan, agensi dan institusi latihan perguruan patut mematuhi syarat dan prosedur seperti mengiklankan permohonan, menapis semua permohonan dan memanggil calon guru yang melepasi ujian kelayakan dan melaksanakan sesi temu duga. Seterusnya, membuat tawaran kepada calon guru yang berjaya, mendaftar calon guru berpandukan buku panduan pendaftaran dan mendatangani perjanjian latihan perguruan.
Keperluan kedua adalah Latihan, Pentaksiran dan Penilaian. Keperluan ini memperincikan program latihan, sistem pemantauan, pentaksiran dan penilaian seperti kurikulum latihan, sumber manusia yang berkelayakan, kompeten dan mencakupi, program yang terancang bagi guru pelatih memperoleh pengetahuan dan pengalaman di sekolah, sumber pengajaran dan pembelajaran dan pentaksiran dan penilaian berdasarkan peraturan peperiksaan dan penilaian yang sedang berkuat kuasa.
Keperluan ketiga iaitu Kolaborasi merujuk kepada permuafakatan yang diwujudkan oleh agensi dan institusi latihan perguruan seperti sekolah, institusi pengajian tinggi tempatan dan luar Negara dan badan bukan kerajaan seperti persatuan, unit beruniform, serta sukan dan permainan.
Seterusnya, Keperluan keempat iaitu Infrastruktur dan Infostruktur. Agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan prasarana dan sumber yang lengkap dan terkini bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, bermakna dan menyeronokkan seperti menyediakan kemudahan fizikal yang sesuai dan mencukupi bagi memenuhi keperluan kurikulum dan kokurikulum, pengurusan dan pentadbiran, serta kebajikan pelajar dan staf berdasarkan spesifikasi standard dan kos yang sedang berkuat kuasa. Selain itu, menyediakan rangkaian infostruktur yang bersepadu untuk menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan dan pentadbiran.
Keperluan kelima adalah Jaminan Kualiti. Mekanisme jaminan kualiti merupakan aspek penting bagi memastikan latihan perguruan yang dilaksanakan kekal bermutu tinggi. Pemantauan, penilaian dan pelaporan perlu dibuat terhadap perkara- perkara berikut bagi menjamin kualiti latihan perguruan iaitu pemastian jaminan kualiti terhadap Standard, pemastian jaminan kualiti terhadap Keperluan, penandaarasan latihan perguruan dan Pemastian Amalan Jaminan Kualiti Agensi Kelayakan Malaysia yang dijalankan dengan amanah.
Kesimpulannya, bagi melahirkan guru Malaysia yang bertaraf dunia, kedua- dua kompenan ini iaitu Standard dan Keperluan haruslah dilaksanakan. Standard Guru Malaysia mempunyai tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh seorang guru bagi menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganagegara Malaysia pada masa kini dan akan datang. Standard Guru Malaysia memastikan guru yang dihasilkan mempunyai kompetensi yang tinggi dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
hello. selamat pagi awak. saya nak tanya dari mana awak dpt sumber untuk tambahan maklumat itu semua . heheheheee boleh tak share sumber bahan rujukan. heheheee
ReplyDeleteHello. selamat pagi. awak ada sumber rujukan bagi tajuk ini tak? dari mana awak dpt makluman itu semua dgn terperinci
ReplyDelete